Saturday, July 16, 2011

KERATAN AKHBAR UTUSAN 16 JUNE 2011

ARKIB : 14/06/2011

Asah bakat atlet sukan berkuda

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

Peserta mengikuti aktiviti berkuda semasa Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 13 Jun – Madonna, Tommy, Irish Draught dan Uffingger merupakan antara berpuluh ekor kuda yang turut ‘berkampung’ di sini selama enam hari baru-baru ini bagi menemani peserta Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011.

Terengganu menjadi tuan rumah bagi program dwitahunan yang terbesar kali ini dengan penglibatan seramai 370 peserta bersama 80 jurulatih dari 18 buah kelab poni seluruh negara.

Program itu memberi peluang kepada remaja khususnya yang menyertai Program Menunggang Kuda di Sekolah (RISP) meluangkan masa bersama kuda dalam persekitaran baru dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diadakan.

Pada masa yang sama ia memperlihatkan minat yang semakin meluas dalam kegiatan berkuda dan sukan ekuin di negara ini malah, membuktikan ia mampu disertai oleh semua lapisan masyarakat dan bukan hak eksklusif golongan elit dan berada.

Apatah lagi, ia disemarakkan dengan sokongan Kementerian Pelajaran bagi memperluaskan kegiatan RISP yang dikendalikan oleh Majlis Ekuin Malaysia (MEM) di sekolah-sekolah.

Rentetan itu, Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 itu menjadi platform terbaik kepada peserta-peserta di seluruh negara bertemu dan berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang ekuin.

Pada penganjuran kali ini menyaksikan, empat lagi kelab poni ditubuhkan iaitu Kelab Poni Imtiaz, kelab Poni Kementerian Pelajaran, Kelab Poni Sabah dan Kelab Poni Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berangkat menyempurnakan perasmian program itu telah menyampaikan plak penubuhan kepada kelab-kelab berkenaan.

Kelab poni merupakan badan bagi remaja yang berminat dengan kegiatan berkuda dan ia dirintis di England dalam tahun 1929 dan kini wujud di 15 negara termasuk di Malaysia dengan keahlian lebih 100,000 orang.

Setiap peserta bukan sahaja mempelajari penguasaan menunggang malah, cara menguruskan haiwan ini seperti pembersihan, memasang ladam, penjagaan serta mencuba acara-acara melibatkan sukan poni.

Ia ternyata amat penting kepada seorang penunggang untuk mengetahui tentang haiwan yang ditunggang mereka agar jiwa penunggang dan kuda itu serasi selain dapat mengelakkan kecederaan.

Biarpun penganjuran itu memerlukan kos yang tinggi, namun, MEM tetap akan meneruskan perkhemahan itu bagi membolehkan peserta kelab poni mengasah bakat mereka.

Sehingga kini, MEM telah melahirkan ramai peserta daripada kelab poni itu untuk menyertai pertandingan sukan ekuin di peringkat antarabangsa dan menarik penglibatan mereka dalam pelbagai cabang kerjaya.

Dalam pada itu, seorang pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Darul Aman, Kedah, Wan Nor Hanisah Wan Harun, 16, memberitahu, dia memperoleh banyak maklumat untuk dimanfaatkan semasa menyertai perkhemahan itu.

Ujar peserta terbaik keseluruhan kategori non-riding ini, dia mengakui menunggang kuda dapat menghilangkan tekanan.

“Saya tidak takut untuk berada dekat dengan kuda kerana ia merupakan haiwan yang jinak jika kita pandai mengawal mereka.

“Saya harap lebih ramai lagi kawan-kawan di luar sana menyertai kelab poni ini pada masa depan,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Abdullah Mukmin Omar, 15, dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu yang baru menyertai kelab poni tersebut mengakui tidak pernah serik terjatuh dari kuda ketika menunggang.

“Sepanjang saya menunggang kuda di perkhemahan ini, tiga kali saya terjatuh. Biarpun sakit tetapi saya tidak serik kerana menunggang kuda amat seronok dan dapat meningkatkan kecerdasan badan dan otak.

“Jika diberi peluang saya mahu memiliki seekor kuda sendiri satu hari nanti dan turut serta dalam acara sukan ini,” jelasnya.

No comments: