Thursday, May 9, 2013

UTUSAN MALAYSIA EDISI TIMUR 9 MEI 2013


Lahir jaguh sukan ekuestrian

Seorang pelatih Kelab Poni Kelantan menunggang kuda ketika sesi latihan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU 8 Mei - Menunggang kuda antara riadah yang disebut secara jelas dalam petikan hadis Rasulullah SAW sebagai salah satu sunah yang dituntut untuk diajarkan khususnya kepada generasi muda selain aktiviti memanah dan berenang.
Kemahiran manusia 'bersatu' dengan ketangkasan kuda semasa mengendalikan haiwan gagah itu berupaya membentuk peribadi unggul yang mempunyai fizikal cergas dan minda yang tenang dalam menghadapi apa-apa jua situasi.
Tidak dapat dinafikan wujud banyak cabang berkaitan aktiviti menunggang kuda, tetapi agak malang ia diungguli masyarakat Barat meskipun mempunyai akarnya dalam ajaran Islam.
Sukan ekuestrian seperti dressage dan jumping misalnya adalah antara jenis acara utama yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik sekali gus memberi peluang atlet terlibat menghadiahkan pingat untuk negara mereka. Antara nama tersohor yang meniti di bibir peminat adalah atlet Jerman, Michael Jung, juara unggul di pentas kejohanan ekuestrian dunia masa kini.
Negara kita pula boleh berbangga dengan pencapaian Qabil Ambak, jaguh dressage yang pernah menggondol pingat perak dan gangsa dalam Sukan Asia dan setakat ini masih belum ada tandingannya.
Namun, jika tidak dipecahkan ruyung masakan mendapat sagunya. Justeru berbekalkan minat tinggi dan sokongan rakan-rakan, seorang guru, Mohd. Faizal Ismail, 43, menubuhkan Kelab Poni Kelantan pada 2004 dengan tujuan melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang ekuestrian.
Dalam masa sama, Mohd. Faizal yang mengajar Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di sini mahu menggunakan peluang itu sebagai 'tiket' membolehkan beliau sendiri mengambil bahagian mewakili kelab ke kejohanan atau pertunjukan kuda, malah pernah menduduki tempat keenam keseluruhan acara dressage semasa National Horse Show 2010 di Ipoh, Perak.
"Saya amat minat sukan dressage dan jumping kerana ia menuntut disiplin tinggi daripada penunggang. Ia adalah sukan yang menonjolkan hubungan semula jadi antara manusia dan haiwan.
"Apabila berada dalam gelanggang, seorang penunggang bukan bergantung kepada kemahiran seorang tetapi juga kuda dan dalam masa sama perlu bijak mengawal emosi diri dan kuda di hadapan khalayak.
"Sukan ini memperlihat keseluruhan perawakan penunggang daripada pakaian kepada komunikasinya dengan kuda, paling utama adalah bagaimana dia menyeimbangkan kedudukan badannya dengan kuda.
"Kami bukan melatih golongan muda yang menyertai sukan 'berlumba' kuda laju sembarangan, tetapi menunjuk ajar cara menunggang dengan disiplin tertentu mengikut peraturan bagaikan satu seni yang menggabungkan kudrat manusia dan haiwan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bagi anda yang pernah menonton siaran langsung Sukan Olimpik di kaca televisyen, pasti pernah melihat kelibat penunggang kuda berpakaian segak dengan topi, jaket dan kasut but hitam serta seluar jopper putih menunggang kuda dengan aksi 'santun' tetapi tangkas sambil disaksikan ribuan pasang mata di sekeliling gelanggang.
Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (IEF) mendefinisikan dressage sebagai bentuk paling tinggi latihan kuda di mana penunggang dan kuda perlu menghasilkan siri pergerakan tertentu yang sudah ditetapkan, manakala jumping pula memfokuskan kepada kemahiran melompat pagar.
Mohd. Faizal yang lulus Sijil O Level pengurusan kuda pada 2000 dan merupakan instruktor Kelab Poni bertauliah Majlis Ekuin Malaysia (MEM) tunggal di Kelantan berkata, pihaknya juga menyelaras program Riding in School (RISP) Majlis Sukan Sekolah - sekolah Malaysia (MSSM) di negeri ini yang bermatlamat mencambahkan lagi penyertaan awam dalam sukan itu terutama dalam kalangan pelajar sekolah.
Jelasnya, kelabnya yang kini melatih 25 penunggang, beroperasi di tanah lapang milik Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di Pengkalan Chepa dan sebagai timbal balik pihaknya membantu mengendalikan program terapi kuda untuk pemulihan kanak-kanak OKU yang berdaftar dengan yayasan tersebut.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Faizal berkata, pihaknya bertuah kerana mendapat sokongan penuh MEM yang bukan sahaja membekal lima kuda untuk kegunaan kelab, bahkan menanggung pembiayaan makanan harian haiwan tersebut seperti palet beras dan rumput kering.
Jelasnya, kuda-kuda tersebut digunakan untuk latihan dan pertandingan seluruh negara seperti kejohanan wajib bagi peminat sukan ekuestrian tempatan iaitu National Horse Show di Pulau Pinang dan Perak yang mula disertai kelabnya sejak 2005.
"Kuda import yang berusia purata 14 tahun ini mempunyai nama asal yang unik iaitu Portous, Farouk, Laoma, Plush Lady dan Baja King.
"Antara langkah memastikan kesihatan kuda ini adalah dengan memberi suntikan mencegah jangkitan penyakit seperti Japanese Encephalitis (JE) dan Equin Influenza (EI) selain suntikan tambahan khusus yang dikenakan sebelum menyertai pertandingan, contohnya suntikan Tetanus dan Herpes mengikut syarat penganjur," katanya.
Menyentuh mengenai cara latihan di kelab poni itu, beliau memberitahu, penunggang semuda usia enam tahun ditunjukkan cara mengendalikan kuda dari A sampai Z iaitu bagaimana kuda seharusnya dilayan dalam kandang, memberi makan dan membelai sehinggalah kepada kaedah menunggang mengikut disiplin sebenar sukan ekuestrian.
"Jangan silap sangka bahawa kita ini bertaraf 'tuan' kepada kuda, tetapi seorang penunggang sebenarnya juga adalah 'hamba' kepada kuda.
"Setiap pelatih wajib membuang najis kuda dan membersihkan kandang serta memandikan kuda setiap kali selesai sesi latihan," katanya.
Mohd. Faizal berkata, kelab tersebut membuka pintu seluas-luasnya kepada yang berminat tanpa mengira umur.
Di sebalik kekangan kewangan, katanya, dia bersyukur kerana dengan sokongan pelbagai pihak, kelab itu sudah berjaya melahirkan beberapa bakat yang diyakini berupaya menguasai dunia ekuestrian negara satu masa nanti.
"Antara bakat terbaik kelab kami adalah Ahmed Ezihan Shafizie Sazali, 20, yang pertama kali terpilih mewakili Kelantan dan mendapat tempat keempat di Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Terengganu dalam acara showjumping ketika berusia 15 tahun serta menjadi johan acara sama semasa mewakili kelab ini ke kejohanan Penang Turf Club Equestrian Horse Show pada 2010.
"Seterusnya, Ahmed Ezihan dijemput mewakili Pulau Pinang semasa Sukma 2012 di Pahang sehingga berjaya membantu negeri itu menduduki tempat keempat acara ekuestrian berpasukan.
"Pada tahun ini, dia bersama seorang lagi penunggang berbakat kami iaitu Mohd. Aminuddin Ali, 21, dilamar pula pasukan Perak untuk acara sama," katanya.
Menurutnya, pihaknya kini sedang giat membuat persiapan dan latihan bagi menghantar 15 wakil menyertai kejohanan Universiti Teknologi Malaysia International Johor Horse Show (UTM IJHS) 2013 pada bulan Jun ini.
Sementara itu, salah seorang pelatih kelab yang ditemui, Nik Irdiana Asilah Nik Yusoff, 11, berkata, dia menyertai kelab itu sejak tahun lalu mengikuti jejak langkah kakaknya, Nik Nadhrah, 15, yang menyertainya lebih awal.
Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Kota Bharu itu memberitahu, seorang pelatih perlu melepasi tahap tertentu seperti pandai memandikan kuda sebelum dibenarkan berlatih menunggang haiwan itu.
"Saya juga kena tahu kegunaan setiap peralatan yang dipasang kepada kuda, contohnya pemijak kaki besi, pelana dan tali kekang serta mesti memastikan cara pemasangan betul jika tidak kena marah dengan Cikgu Faizal.
"Ketika membawa kuda keluar dari bangsal, penunggang muda seperti saya perlu ditemani pelatih lain yang lebih dewasa sebagai langkah keselamatan.
"Saya pernah jatuh semasa berada atas kuda yang sedang makan rumput, mujurlah saya hanya luka kecil sahaja dan ia tidak menjejaskan semangat saya untuk terus berlatih menunggang," katanya.
Kakaknya, Nik Nadhrah berkata, dia mengamalkan bacaan lafaz dua kalimah syahadah sebagai cara menenangkan kuda yang ditunggangnya tidak kira ketika latihan ataupun pertandingan dan bercita-cita besar untuk mewakili negara dalam sukan ekuestrian.
Bagaimanapun, gadis berperwatakan lembut itu berkata, dia pernah kecewa apabila kuda bernama Laoma yang ditunggangnya bertindak keluar gelanggang semasa menyertai acara dressage kejohanan UTM IJHS 2012 pada April tahun lalu.
"Saya menangis kerana seolah-olah saya ini seorang yang tidak pandai mengawal dan mengambil hati kuda, tetapi ibu menemani saya dalam pertandingan itu memujuk saya agar tidak berputus asa, begitu juga dengan peserta senior lain yang memberitahu saya bahawa insiden kuda membuat perangai bukanlah satu perkara pelik," katanya.
Seorang lagi pelatih yang juga penuntut tahun tiga Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Shirley Peter Magarif, 23, berkata, dia menyertai kelab berkenaan untuk mendalami lebih dekat sukan ekuestrian.
Katanya, sebagai bakal doktor veterinar, dunia ekuestrian adalah antara prospek masa depan yang akan ditempuhi, justeru adalah lebih baik dia mengutip sebanyak mungkin ilmu secara langsung dalam lapangan itu.
"Kebetulan kelab ini berdekatan sahaja dengan kampus UMK, jadi saya mudah untuk berulang alik setiap kali ada kelapangan waktu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130509/wt_04/Lahir-jaguh-sukan-ekuestrian#ixzz2SqA2sVax
© Utusan Melayu (M) Bhd