Sunday, July 24, 2011

HARI TERBUKA UMK SEMPENA HARI VETERINAR SEDUNIA 23-25 JUN 2011

Hari Terbuka FPV UMK perkenal profesion doktor veterinar
Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkan Hari Terbuka FPV sempena Sambutan Hari Veterinar Sedunia 2011 di Dewan Terbuka Keusahawanan, Kampus UMK, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 23 Jun 2011.

Naib Canselor UMK, Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai bin Mohamed berkata, program sambutan ini adalah bertepatan dengan usaha UMK untuk memperkenalkan dan memasyarakatkan Universiti kepada masyarakat setempat.

Beliau percaya, usaha ini juga diharapkan dapat memberi peluang untuk mahasiswa-mahasiswi untuk menimba pengalaman bekerja dalam satu pasukan ketika melaksana dan menguruskan sesuatu program.

“Kita amat berbangga kerana FPV merupakan fakulti yang keempat ditubuhkan di UMK dan telah memulakan pengambilan pelajar kumpulan pertama seramai 39 orang pada bulan Julai 2009.

“Jumlah itu bertambah kepada 65 orang pelajar pada sesi pengambilan lepas yang mengikuti kursus pengajian perubatan haiwan atau veterinar di UMK,” katanya.

Menurut Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai, penubuhan FPV di UMK adalah bertepatan pada masanya memandangkan bidang ilmu ini sangat diperlukan oleh pihak industri sejajar dengan kepesatan pembangunan industri ternakan negara.

Jelas beliau, bilangan doktor perubatan veterinar masih kurang di Malaysia dan profesion ini adalah penting bagi memberi perkhidmatan kesihatan dalam industri ternakan yang lebih lestari sebagai salah satu pemacu ekonomi Malaysia.

“Program hari terbuka membolehkan masyarakat setempat mengetahui lebih dekat tentang profesion doktor perubatan veterinar sekaligus memberi peluang kepada generasi baru yang berminat menceburi bidang ini di UMK,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Y.Bhg. Dato’ Dr. Mohd Zairi bin Hj. Serlan, Pengarah Penyelidik, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Y.Bhg. Dr. Abu Hassan Muhammad Ali, Timbalan Pengarah Urusan, Klas Farm Sdn. Bhd., Y.Bhg. Ir. Haji Shafie bin Abdul Majid dan Pemangku Dekan FPV, Y.Bhg. Dr. Mohd Azam Khan bin Goriman Khan.

Sementara itu, sempena Hari Terbuka FPV yang berlangsung selama dua hari itu pelbagai program menarik telah diadakan seperti program syarahan, ceramah, pameran haiwan hidup, klinik haiwan kesayangan, sudut pengurusan kuda, jualan hasilan ternakan, makanan dan sebagainya.

No comments: