Dunia Lelaki: Lagak Zorro
Oleh Mohd Fakri Awang Lah
bhkb@bharian.com.my
2011/03/26
Kelab RISP ajak generasi muda kembang bakat dalam ekuestrian
AKSI licik bagaikan Zorro bersama kuda kesayangan - tangkas melepasi halangan dan sesekali cuba meloloskan diri daripada kepungan penjahat.
Itulah yang digambarkan penulis ketika berpeluang mengikuti sesi latihan ekuastrian bersama ahli Kelab Riding In School Programme (RISP) di Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.
Sejak RISP diperkenalkan di Kelantan pada 2004, sukan ekuastrian menarik minat ramai pelajar yang mungkin selama ini sering berangan-angan mahu menjadi seperti Zorro. Namun, selepas dilalui sendiri penulis, latihan dan ujian untuk menjadi penunggang kuda yang mahir tidaklah semudah disangka.
Kuda seperti haiwan peliharaan yang lain juga mempunyai naluri inginkan kasih sayang dan dibelai sepanjang masa. Sememangnya, komitmen tinggi diperlukan dari penunggang kuda untuk memberi perhatian penuh terhadap aspek penjagaan haiwan ini.
Ini diakui ahli Kelab RISP, Ahmad Syazman Shamsudin, 20, dari Pasir Hor yang mula berjinak-jinak dengan sukan berkuda ketika masih menuntut di tahun enam.
"Saya mula menunggang kuda sejak berumur 12 selepas diperkenalkan oleh seorang saudara yang memelihara haiwan itu di kampung. Sejak itu, minat menunggang kuda mula tersemai dalam diri.
"Selepas melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu, bakat saya mula dikesan oleh seorang jurulatih kelab ini dan bertitik tolak dari itulah saya mula menyertai RISP.
"Banyak kenangan pahit dan manis ketika mula-mula menunggang kuda termasuk pernah terjatuh ketika latihan. Namun, paling diingati ialah ketika memenangi tempat ketiga acara individu dalam pertandingan endurance sejauh 120 kilometer pada Sultan Cup di Terengganu pada 2009.
"Saya bertuah kerana dapat bertanding bersama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pertandingan itu," katanya yang bertanding di bawah Kelab Tengku Mahkota Kelantan ketika itu.
Bagi Ahmad Ezihan Shafizie, 19, yang mula menyertai Kelab RISP ketika masih berusia 13 tahun, menunggang kuda dapat memberi ketenangan dan kepuasan kepada dirinya.
"Walaupun beberapa kali tercedera di lutut akibat jatuh di atas palang ketika menyertai SUKMA pada 2008, namun ketagihan untuk menunggang kuda tidak dapat dielak.
"Saya menjalani latihan sekurang-kurangnya dua kali seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu di Alysha Farm. Ketika pertandingan berlangsung, saya akan berlatih dengan lebih giat lagi," katanya.
Zuraifarah Izzaty Zulkifli, 21, pula mengakui bukan senang untuk menunggang kuda kerana perlu memahami tabiat haiwan berkenaan, selain perlu sentiasa menumpukan perhatian dari segenap aspek.
"Cara terbaik untuk menjadi seorang penunggang yang baik ialah dengan sering mendekatkan diri dan membelai haiwan berkenaan. Ini kerana kuda mempunyai naluri yang kuat.
"Ia bagai tahu perasaan kita apabila mendekatinya, justeru saya perlu buang rasa takut jauh-jauh dalam diri supaya haiwan berkenaan jinak dan mudah ditunggang.
"Cara terbaik untuk mendekatkan diri ialah dengan memberi makan dan memandikan kuda selepas menunggangnya. Ini sama seperti seekor kucing yang perlu sentiasa dibelai," katanya yang sedang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang.
Ahli kelab paling muda, Siti Nor Farhana Mohd Lutfi, 14, berkata walaupun beliau aktif dalam sukan berkuda, namun aktiviti itu tidak pernah mengganggu pelajarannya.
"Selain menunggang kuda, saya juga aktif dalam acara balapan di sekolah. Pada pendapat saya, aktiviti sukan tidak akan mengganggu pelajaran jika tahu cara pengurusan masa yang betul.
"Kadang-kadang, saya akan membawa buku latihan ke tempat latihan bagi menyiapkan kerja rumah yang diberi guru," kata pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Chung Hwa ini.
Sesungguhnya, langkah Majlis Ekuin Malaysia (MEM) memperkenalkan RISP iaitu sukan lasak menunggang dan mengendalikan kuda kepada pelajar sekolah serta guru dilihat sebagai kaedah tepat bagi menggalakkan mereka mengisi masa lapang hujung minggu dengan aktiviti berfaedah.
Selain dilihat sebagai mampu untuk menggalakkan pelajar bersukan, aktiviti ini juga dapat menghindar pelajar daripada terjebak dengan gejala tidak sihat, terutama penyalahgunaan dadah dan menjadi samseng jalanan.
Sukan ini juga mampu memupuk keberanian penunggang kerana bukan mudah untuk mengendalikan seekor binatang yang jauh lebih besar dan kuat daripada manusia.
Cari dana sendiri
WALAUPUN berdepan pelbagai halangan ketika mengambil alih kelab ini, namun, jurulatih RISP Kelantan, Mohd Faizal Ismail, berkata beliau tidak pernah patah semangat untuk terus melihat sukan ini berkembang di Kelantan.
"Masalah utama kelab ini ialah dari segi kewangan. Ini kerana tiada peruntukan khusus diberi Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) kerana masih tidak dipertandingkan di bawah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
"Beberapa negeri lain yang ada RISP tidak menghadapi masalah kerana mereka mendapat peruntukan yang cukup melalui 'turf club' masing-masing.
"Namun, demi melihat sukan ini terus berkembang dan mengelak daripada remaja terutama ahli daripada terjebak dengan gejala negatif, saya mencari sumber kewangan sendiri bagi menampung perbelanjaan menguruskan kelab ini," katanya dalam pertemuan bersama XY - Ikon Lelaki.
Mohd Faizal berkata, keadaan bertambah sukar apabila ada pertandingan ekuastrian di negeri lain yang ingin disertai kelab.
"Untuk menyertai sesuatu pertandingan, sekurang-kurangnya memerlukan kira-kira RM3,000 untuk membuat baju pasukan, perbelanjaan makan minum ahli kelab dan lain-lain.
"Justeru, bagi memastikan ahli kelab dapat menyertainya, saya terpaksa mencari beberapa penaja untuk menampung sumber kewangan yang terhad," katanya.
Namun, Mohd Faizal bersyukur kerana Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan beberapa individu lain banyak membantu meringankan beban yang ditanggungnya.
"Baru-baru ini, MEM memberi dua ekor kuda baru bagi menambah bilangan kuda. Selain itu, pengurusan Alysha Farm juga bersetuju kami menjalani latihan dan menempatkan kuda secara percuma di sini.
"Kami hanya perlu menyediakan dua ekor kuda kepada Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) untuk mereka sebagai balasan kepada pengurusan Alysha Farm. Kuda ini membolehkan orang kelainan upaya (OKU) menjalani latihan menunggang kuda," katanya.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
Tempahan Raya 2020
4 years ago
No comments:
Post a Comment